more than words

Sunday, December 11, 2011

kisah Allah menciptakan Jibrail..

Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini”.
Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak”. Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”. Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan”.
Sabda Rasulullah, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah“.
Kata Rasulullah lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata Rasulullah.

Nabi Idris disayangi malaikat Izrail...

Nabi Idris A.S adalah nabi kedua yang wajib diketahui oleh umat Islam. Dikisahkan bahawa Nabi Idris diangkat ke syurga kerana setiap hari dia membuat amal yang diterima sebanyak alam penduduk bumi. Melihat akan hal itu, maka malaikat Izrail begitu sayang kepadanya. Pada suatu hari, Izrail meminta izin kepada Allah untuk turun ke bumi untuk berjumpa dengan Nabi Idris dan Allah memperkenankannya.
Lalu turunlah Izrail ke bumi dalam bentuk rupa seorang manusia biasa dan memberi salam pada Nabi Idris serta duduk di sampingnya. Nabi Idris yang sedang berpuasa ketika itu memperlawa tamunya untuk makan setelah tiba waktu berbuka puasa, namun tamunya itu hanya mendiamkan diri. Nabi Idris pun meneruskan ibadahnya sambil dilihat Izrail sehingga terbit fajar.
Melihat akan hal tamu yang duduk di sebelahnya, maka Nabi Idris pun bertanya, “Hai lelaki, mahukah kamu berjalan-jalan denganku supaya kita berasa senang?” Lalu Izrail menjawab, “Ya, aku mahu”. Mereka berdua pun berjalan-jalan dan tiba di sebuah ladang yang sangat subur tanamannya. Malaikat Izrail berkata, “Bolehkah kamu izinkan aku mengambil buah-buahan itu?” Berkata Nabi Idris, “Maha suci Allah, semalam kau tak mahu makan benda yang halal dan kini kau mahu memakan benda yang haram”. Mendengar jawapan Nabi Idris, Izrail pun terdiam.
Setelah itu, mereka pun berjalan selama 4 hari dan dalam tempoh itu Nabi Idris merasakan perbezaan tamunya itu dengan manusia biasa, lalu Nabi Idris bertanya, “Aku dapati kau amat berbeza sekali daripada manusia biasa lain. Oleh itu aku harap dapatlah kau memberitahu aku siapakah dirimu”. Izrail menjawab, “Aku adalah malaikat pencabut nyawa bernama Izrail”. Nabi Idris bertanya lagi, “Sudah 4 hari kamu bersamaku, bagaimanakah kamu mencabut roh yang lain?” Izrail pun berkata, “Memang kerjaku mencabut roh  dan sesungguhnya ia adalah perkara yang mudah seperti hidangan makanan yang aku hadapi”.
Kemudian Nabi Idris bertanya lagi, “Wahai Izrail, adakah kau datang sekadar untuk menziarahi aku atau pun mencabut rohku?” Jawab malaikat Izrail, “Aku datang menziarahimu dan aku telah mendapat keizinan Allah”. Setelah mendengan jawapan Izrail, maka berkatalah Nabi Idris, “Wahai Izrail, aku mempunyai hajat”. “Katakan hajatmu itu”, jawab Izrail. Ujar Nabi Idris, “Hajatku padamu ialah kamu hendaklah mencabut rohku. Kemudian Allah akan menghidupkan aku supaya aku boleh kembali beribadah kepadaNya sesudah aku merasakan sakitnya mati”. Izrail menjawabnya dengan tenang, “Sebenarnya aku tidak mempunyai kuasa untuk mencabut roh seseorang kecuali dengan izin Allah”.
Atas permintaan Nabi Idris itu, Allah mewahyukan kepada Izrail, “Hai Izrail, cabutlah nyawa Idris itu”. Maka Izrail pun menurut perintah dan mencabut nyawa Nabi Allah itu dan kematian Nabi Idris ditangisinya. Lalu Izrail memohon supaya Allah menghidupkan kembali Nabi Idris yang menjadi teman baiknya. Allah memperkenankan doa Izrail lalu Dia menghidupkan semula Nabi Idris.
Setelah hidup semula, maka Izrail bertanya kepada Nabi Idris, “Wahai Idris, bagaimanakah rasanya mati itu?” Jawab Nabi Idris, “Rasanya seperti mengupas kulit binatang yang hidup, rasa sakitnya adalah lebih seribu kali ganda”. Berkata Izrail pada Nabi Idris, “Aku mencabut nyawamu dengan cara yang paling lembut sekali dan tidak pernah aku mencabut roh selembut ini”.

Nabi Idris kemudian menyatakan hasratnya untuk melihat neraka jahanam kepada Izrail supaya dia boleh beribadah dengan lebih tekun lagi selepas ini. Izrail pun berkata, “Aku tidak dapat membawa kamu pergi tanpa izin dari Allah”. Lalu Allah mewahyukan kepada Izrail, “Bawalah oleh kamu dan tunjukkanlah kepada Idris akan neraka jahanam itu”. Lalu dibawanya Nabi Idris melihat neraka jahanam dan Nabi Idris dapat melihat suasana yang mengerikan dalam neraka tersebut.
Setelah keduanya kembali dari melihat neraka jahanam, maka berkatalah Nabi Idris akan hajatnya lagi, “Wahai Izrail, aku ingin sangat melihat syurga yang Allah ciptakan untuk hambaNya  yang taat”. Izrail menjawab, “Aku tak dapat membawamu kecuali dengan izin Allah”. Kemudian Allah mewahyukan lagi kepada Izrail, “Wahai Izrail, bawalah Idris melihat syurga. Aku memberi izin kepadamu”.
Setelah sampai di pintu syurga, amaka nampaklah Nabi Idris akan kecantikan syurga yang tidak ada tolok bandingnya. Melihat hal yang demikian, Nabi Idris pun berkata, “Wahai malaikat Izrail, aku telah merasakan sakitnya mati. Aku juga telah melihat neraka serta siksaan di dalamnya. Oleh itu aku harap kamu mohonlah pada Allah supaya aku dapat duduk di dalam syurga dan meminum airnya supaya hilang rasa sakit mati dariku dan minta hindarkanlah aku dari api neraka jahanam”.
Kemudian Izrail memohon kepada Allah dan Allah memberi izin kepada mereka untuk masuk dan keluar dari syurga. Setelah mendapat izin, Nabi Idris masuklah ke dalam syurga dan meletakkan kasutnya di bawah sebatang pohon syurga. Nabi Idris kemudiannya keluar dari syurga sambil berkata, “Wahai Izrail, aku tertinggal kasutku. Oleh itu bawakan aku kembali ke dalam”. Nabi Idris segera masuk kembali ke dalam syurga, tetapi setelah ditunggu beberapa lama oleh Izrail, dia masih belum keluar lagi.
Maka risaulah Izrail lalu berkata, “Wahai Idris, keluarlah kamu dari syurga”. Jawab Nabi Idris, “Aku tidak mahu keluar dari syurga ini kerana Allah telah berfirman, ‘Kullu nafsin dzaaiqatul mauti‘ (dan tiap-tiap yang bernyawa itu mesti merasakan mati) dan sesungguhnya aku telah mati”. Sambung Nabi Idris lagi, “Allah juga telah berfirman, ‘Wa-in minkum illaa waariduhha‘ (dan tidak adalah di antara kamu kecuali dia memasukinya) dan aku telah masuk neraka”. Kemudian Nabi Idris berkata lagi, “Allah berfirman, ‘Wamaahum bimukhrijiina‘ (dan tidaklah mereka itu dikeluarkan daripadanya). Maka siapakah yang mengeluarkan aku daripadanya?”
Akhirnya Allah mewahyukan kepada malaikat Izrail, “Hai Izrail, biarlah Idris itu. Sesungguhnya Aku telah memutuskan di zaman azali bahawa sesungguhnya Idris itu adalah termasuk dalam ahli syurga”.

maut..bila dan bagaimana~

Izrail, salah satu nama malaikat yang diketahui umat Islam. Tugasnya sudah tentu mencabut nyawa selain beribadah kepada Allah, tuhan semesta alam. Mungkin ramai yang tertanya bagaimanakah Izrail mampu mencabut nyawa makhluk yang terlalu banyak di muka bumi Allah ini bukan? Ya, dia mampu mengambil nyawa kerana kekuasaan untuk mencabut nyawa yang telah Allah berikan padanya sama banyak dengan makhluk yang Allah ciptakan.
Dikisahkan, ketika Allah mencipta Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada Izrail, maka berkata malaikat Izrail, “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”. Maka Allah menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka, “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah SWT berfirman: “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu”.
Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.

Tanda-tanda kematian seseorang:

100 hari sebelum kematian:
Ini adalah tanda pertama dari Allah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.
40 hari sebelum kematian:
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
7 hari sebelum kematian:
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.
3 hari sebelum kematian:
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
1 hari sebelum kematian:
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda akhir sebelum kematian:
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Apabila Izrail mencabut nyawa
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi, “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
“Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah”.
Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain”.
Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan:
“Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan”.
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:
“Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu”.
Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:
“Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir”.
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:
“Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah”.
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah. Kemudian Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai malaikatKu, tulis Asma-Ku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu”.
Sebaik saja mendapat perintah Allah maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah. Setelah melihat Asma Allah dan terbitnya rasa cintanya kepada Allah maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Tempat tinggal roh
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: “Roh itu menuju ketujuh tempat”:
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai
hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat.
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: “Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya”:
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Arasy????

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
'Arasy atau 'Arsy (Arab: عَرْش‎) merujuk kepada tempat Allah bersemayam menurut Al-Quran.
"Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.."
- Surah Ar-Ra'd: 2
Bagaimanapun menurut Islam, Allah itu tidak sama dengan makhluk. Bila tidak sama dengan makhluk maka cara dia bersemayam juga tidak sama dengan makhluk. Bagaimana cara dia bersemayam hanya Allah sahaja yang tahu.
Dalam Al Quran terdapat sebanyak tujuh tempat Allah Taala menyebutkan yang Allah Taala bersemayam di atas arasy.
  1. Surah Al A'raf ayat 54
  2. Surah Yunus ayat 3
  3. Surah Ar Ra'd ayat 3
  4. Surah Taha ayat 5
  5. Surah Al Furqan ayat 59
  6. Surah As Sajdah ayat 4
  7. Surah Al Hadid ayat 4

 Etimologi

'Arasy merupakan bentuk mashdar dari kata kerja ‘arasya – ya‘risyu – ‘arsyan (عَرَشَ يَعْرِشُ عَرْشًا) yang bermaksud bangunan, singgahsana, istana atau takhta. Di dalam al-Quran, perkataan ‘Arasy itu disebut sebanyak 33 kali. Kata ‘Arasy mempunyai banyak maksud, tetapi pada umumnya yang dimaksudkan adalah singgahsana atau takhta Tuhan.
Tentang pengertian ‘Arasy, ulama memberikan penjelasan yang berbeza-beza. Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar menjelaskan bahwa ‘Arasy merupakan ”pusat pengendalian segala persoalan makhluk-Nya di alam semesta”. Penjelasan Rasyid Rida itu antara lain didasarkan pada Al Qur'an:
...kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan. (Yunus 10:3)

 Letak 'Arasy

'Arasy terletak di atas syurga Firdaus, Nabi Muhammad bersabda kepada sahabat Abu Hurairah yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Ahmad, Ibnu Abi ‘Ashim:
“Apabila engkau memohon kepada Allah, maka mohonlah kepadanya Syurga Firdaus. Sesungguhnya ia (adalah) Syurga yang paling utama dan paling tinggi. Di atasnya terdapat ‘Arasy Allah yang Maha Pengasih...”
Masih diriwayatkan dari Ibnu Abi 'Ashim, Nabi Muhammad bersabda:
“Sesungguhnya ‘Arasy sebelumnya berada di atas air. Setelah Allah menciptakan langit (yang 7), ‘Arasy itu ditempatkan di langit yg ke-7. Dia jadikan awan sebagai saringan untuk hujan. Apabila tidak dijadikan seperti itu, tentu bumi akan tenggelam terendam air.”

 Keagungan Arasy

Malaikat pernah ada yang melihat Arasy dengan segala keagungan yang dimilikinya. Lalu, Allah berfirman kepada malaikat tersebut, "Sesungguhnya Aku telah menjadikan engkau memiliki kekuatan yang setanding dengan kekuatan 7,000 malaikat." Malaikat itu diberikan 70,000 sayap. Kemudian, Allah menyuruh malaikat itu terbang. Malaikat itu pun terbang dengan kekuatan penuh dan sayap yang diberikan Allah ke arah mana saja yang dikehendaki Allah. Sesudah itu, malaikat tersebut berhenti dan memandang ke arah Arasy. Tetapi, ia merasakan seolah-olah ia tidak beranjak sedikitpun dari tempatnya terbang semula. Hal ini memperlihatkan betapa besar dan luasnya Arasy Allah itu.
Dalam hadis sahih riwayat Imam Baihaqi di dalam kitab mu'tabarnya Al-Asma Was As-Sifat, juga menurut Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Arasy dan Ibnu Kathir di dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim, meriwayatkan Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Tidaklah langit yang tujuh dibandingkan dengan Kursi (Allah) melainkan seperti sebentuk cincin yang tercampak di atas tanah kosong yang luas. Begitulah juga kelebihan Arasy ke atas Kursi samalah seperti kelebihan tanah kosong yang luas itu ke atas cincin tersebut".[1] Hadis tersebut juga boleh dilihat di dalam kitab Arasy Allah karangan Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dan Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah oleh Syeikh Nasaruddin Al-Albani.

 Hamalat al-Arsy

Para Malaikat pemikul atau Malaikat pejunjung / pembawa 'Arsy terkenal dengan nama Hamalat al-‘Arsy (Arab: حملات العرش) dipercayai berjumlah empat sang Malaikat, setelah Hari Kiamat akan bertambah menjadi lapan sang Malaikat termasuk; 4 Malaikat Utama iaitu Malaikat Israfil, Malaikat Mikail, Malikat Jibril, Malaikat Izrail dan Hamalat al-Arsy.[2] Didalam Al-Quran juga disebutkan para Malaikat ini, dalam Surah Al Haqqah 69 ayat 17:
Dan Malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka. (Surah Al-Haqqah, 69:17)

 Kewujudan Hamalat al-Arsy

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dari seorang sahabat Jabir bin Abdillah, wujud para Malaikat pemikul singgahsana Allah sangatlah besar dan jarak antara pundak Malaikat tersebut dengan telinganya sejauh perjalanan burung terbang selama 700 tahun.[3][4]
Dikatakan pula dalam hadis, bahawa Hamalat al-'Arsy memiliki sayap lebih besar dan banyak dibandingkan dengan Malaikat Jibril dan Malaikat Israfil. Dikatakan bahawa Hamalat al-'Arsy memiliki sayap berjumlah 2,400 sayap dimana satu sayapnya menyamai 1,200 sayap Malaikat Israfil, sedangkan Malaikat Israfil mempunyai 1,200 sayap, dimana satu sayapnya menyamai 600 sayap Malaikat Jibril. Rasulullah S.A.W pernah melihat akan rupa sebenar Malaikat Jibril sebanyak 2 kali, iaitu ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Ketika Rasulullah melihat Malaikat Jibril dalam keadaan rupanya yang sebenar, Baginda lantas memuji Malaikat Jibril akan kehebatannya. Malaikat Jibril mempunyai 600 sayap, apabila dibuka satu sayap maka gelaplah seluruh bumi ini. Namun begitu, Malaikat Jibril mengatakan kepada Rasulullah bahawa jangan memujinya kerana Rasulullah masih belum melihat Malaikat lain yang lebih hebat kejadiannya. Lalu Rasulullah bertanya kepada Malaikat Jibril, "Ya Jibril, adakah masih ada Malaikat yang lebih hebat daripada kamu?" Malaikat Jibril menjawab, "Ya, ada." Malaikat Israfil mempunyai 1,200 sayap,dimana satu sayapnya menyamai 600 sayap Malaikat Jibril. Sesudah itu, Rasulullah bertanya lagi," Adakah Malaikat Israfil paling hebat?" Jawab Malaikat Jibril, "Tidak, Malaikat yang memikul Arasy Allah. Malaikat ini mempunyai 2,400 sayap dimana satu sayapnya menyamai 1,200 sayap Malaikat Israfil".




           ..............................................................................................................................................

Berkata Ibu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Ketika saya berisrak ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan, pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membawa surah Al-Ikhlas (Qul huallahu ahad).”
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: “Setelah mereka (malaikat) selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik  lelaki mahupun perempuan’.” Apabila para sahabat mendengar keterangan dari Rasulullah s.a.w. maka mereka sangat kagum. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Wahai para sahabatku, apakah kamu semua kagum?” Berkata para sahabat: “Ya, kami sungguh kagum ya Rasulullah s.a.w.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya ‘Qul huallahu ahad’ itu tertulis di sayap malaikat Jibril a.s, ‘Allahush shomad‘ itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, ‘Lamyalid walam yuulad‘ tertulis pada sayap malaikat Maut, ‘Walam yakul lahu kufuwan ahad‘ tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s. Oleh itu barangsiapa dari umatku yang membaca surah Al-Ikhlas maka dia diberi pahala membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran yang agung.”
Setelah Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka baginda bersabda lagi: “Wahai para sahabatku, pakah kamu semua kagum?” Maka berkata para sahabat: “Ya Rasulullah s.a.w. kami semua kagum.”
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sungguh ‘Qul huallahu ahad‘ tertulis di dahi Abu Bakar Ash-Siddiq, ‘Allahush shomad‘ itu tertulis di dahi Umar Al Faaruq, ‘Lamyalid walam yuulad‘ itu tertulis di dahi Uthman Dzan Nuuraini dan ‘Walam yakul lahu kufuwan ahad‘ itu tertulis pada dahi Ali Assakhiyyi r.a. Oleh itu sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas maka dia diberi Allah s.w.t pahala Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a.”