more than words

Wednesday, November 23, 2011

PERISTIWA BUKIT KEPONG..


Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah kejadian serangan komunis semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.
Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.
Dalam kejadian ini, 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.

Permulaan
Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963). Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.[1]
Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
  1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
  2. Keadaan balai polis yang terpencil
Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.
Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.
Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Serangan Komunis

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan menurut kandungan buku "Memoir Abdullah C.D.", diketuai oleh Muhammad Indera, seorang Komunis Melayu yang memimpin 2 platun komunis Melayu[2], [3]. Hal ini juga disahkan oleh Chin Peng semasa wawancara oleh penulis buku Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack. [4] Menurut rancangan asal, Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu hanya sebagai amaran sahaja,[perlu rujukan] bagaimanapun serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng Tun itu bertukar menjadi tragedi buruk. Pihak komunis mengepung Balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 0415H. Apabila Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat berduri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.[5]
Sekitar pukul 0500H pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk memberi bantuan. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Bren Gun turut dimusnahkan komunis.
Sekitar pukul 0700H, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Mata-Mata Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Mata-Mata Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Peta Serangan Balai Polis Bukit Kepong
Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis.[6] Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.
Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Mata-Mata Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.
14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Bantuan dari perkampungan berdekatan

Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 anggota AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari balai polis Bukit Kepong. Keupayaan senjata mereka amat terhad berbanding pengganas komunis yang menggunakan senjata automatik dan separa automatik berbanding raifal, shotgun dan revolver yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.
Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Penghulu Ali Mustafa mengarah anggotanya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.
Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada jam 1000H dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.

Selanjutnya


Keadaan balai yang hangus terbakar
Apabila pengawal kampung memasuki pekan Bukit Kepong, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Penghulu Ali Mustafa mengambil alih pentadbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar dan Lenga. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texas) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.[7]

Mereka yang terselamat

Anggota Polis
  1. Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);
  2. Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);
  3. Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);
  4. Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)
Ahli keluarga anggota
  1. Mariam binti Ibrahim - isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  2. Zainun binti Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  3. Abu Samah bin Muhammad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  4. Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  5. Jamilah binti Abu Bakar - anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  6. Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
  7. Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Mata-Mata Hassan Osman
  8. Pon binti Khalid - isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
  9. Fatimah binti Tuani - isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
  10. Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah

Mereka yang gugur dalam pertempuran

Anggota Polis
  1. Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
  2. Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
  3. Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
  4. Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
  5. Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
  6. Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
  7. Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  8. Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  9. Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
  10. Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
  11. Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
  12. Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
  13. Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
  14. Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad
Polis Bantuan / Auxiliary Police
  1. Ins. Kudarina Naknok
  2. AP 2130 Samad bin Yatim
  3. AP 1912 Mahmud bin Sa'at
  4. AP 1925 Ali bin Akob
  5. AP 2127 Othman Yahya
Keluarga Anggota
  1. Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  2. Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  3. Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  4. Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  5. Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
  1. AP 2098 Redzuan bin Alias
  2. Embong bin Lazim
  3. Mendiang Koh Ah Cheng


 JANGAN LUPA SEJARAH,,KERANA SEJARAHLAH YG MEMBENTUK GENERASI HARI INI....

PARTI KOMUNIS MALAYA(PKM)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Parti Komunis Malaya (b. Inggeris: Malayan Communist Party) atau singkatannya PKM ialah sebuah pertubuhan yang diasaskan di Tanah Melayu (sekarang Malaysia) pada tahun 1930. Pertubuhan ini menentang penjajahan British yang ketika itu itu sedang memerintah Tanah Melayu. Ketika kedatangan Jepun, PKM membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk berperang dengan mereka.

Pemberontakan bersenjata (1948 - 1989)
Kampung Baru 1948-1960
Jepun mula menakluki Tanah Melayu pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945. Kezaliman sewaktu memerintah adalah pahit. Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu telah mendapat sokongan daripada anak negeri yang terperangkap dengan janji-janji kemerdekaan yang telah dijanjikan. Jepun juga turut menghampakan harapan mereka yang terperangkap dengan janji-janji Jepun untuk memberikan kemerdekaan dengan Propaganda jepun iaitu "Asia untuk Orang Asia" dan "Semangat Asia". Kekerasan berlaku. Mereka yang disyaki menentang Jepun akan dibunuh. Akibat kezaliman Jepun itu, semangat cinta akan tanah air [1]telah dipupuk.
Pada Zaman Pendudukan Jepun, rakyat hidup dalam sengsaraan. Kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh Kempetai amat ditakutkan. Kempetai merupakan unit polis yang menangkap sesiapa yang disyaki menentang Jepun. Banyak masalah sosial juga ditimbulkan. Ekonomi merosot, ramai yang mati kebuluran, hasil pertanian dirampas, bilangan pengangguran semakin meningkat, ubat-ubatan tidak cukup menyebabkan ramai yang mati kerana penyakit. Orang Cina [2]yang menghantar bantuan kepada negara China apabila [Perang Jepun dengan China][3] ditangkap dan dibunuh dengan penuh kezaliman. Memaksa rakyat membina Keretapi Maut di negara Thai. Dasar penjepunan diperkenalkan, sekolah-sekolah diganti dengan sekolah Jepun, bahasa Nippon-go digunakan, Kimigayo iaitu lagu kebangsaan Jepun dinyanyikan, tulisan Jepun ditulis. Perbuatan tersebut menyebabkan kelahiran MPAJA iaitu Tentera Anti Jepun Tanah Melayu, Force 136, Gerila Kinabalu dan lain-lain gerakan yang menentang Jepun. Akhirnya, Jepun menyerah kalah tanpa syarat setelah Hiroshima dan Nagasaki dibomkan[4]. Walaupun Jepun telah menyerah kalah kepada tentera Berikat, tetapi banyak kesan-kesan positif malah negetif diwujudkan. Antaranya, Zaman Pendudukan Jepun itu telah membangkitkan semangat patriotik di kalangan rakyat tetapi masalah perpaduan telah diwujudkan serta masyarakat menjadi kucar-kacir. Ramai yang mati akibat kelaparan dan dijangkiti penyakit.
Setelah Jepun menyerah kalah, MPAJA yang juga dikenali sebagai Parti Komunis Malaya ditubuhkan pada 20 April 1930. Yang pada awalnya bekerjasama dengan pihak British untuk menentang pendudukan Jepun berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940, mengambil peluang untuk membalas dendam terhadap sesiapa yang dianggap bersubahat dengan Jepun.
Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang. Manakala dari segi penglibatan negara luar pula, Parti Kuomintang dari China memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan perfahaman komunis ke Tanah Melayu. Cawangan Kuomintang di Tanah Melayu diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, golongan komunis di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian menubuhkan pula Parti Komunis Malaya.
Tujuan penubuhan PKM adalah untuk menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis. Semasa pemerintahan Jepun PKM menubuhkan MPAJA untuk menentang Jepun. MPAJA mendapat sokongan daripada orang Cina[5].
Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA dan melalui beberapa pertubuhan seperti Min Yuen, MRL dan sebagainya. Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang-orang Melayu mulai bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Bagi meraih simpati, mengindoktrinasi fahaman komunis dan mendapatkan sokongan orang-orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 1945. Parti Komunis Malaya telah menguasai Parti Kebangsaan Melayu Malaya melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.
Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.
Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini yang diadakan pada 28-29 Disember 1955 tidak membawa apa-apa keputusan drastik. Ini disebabkan kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Pihak kerajaan yang telahpun mencapai kemajuan dalam membasmikan Parti Komunis Malaya, dan menimbangkan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap rakyat sebelumnya, menolak usul membenarkan Parti Komunis Malaya dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa Parti Komunis Malaya bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan Tanah Melayu dan Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya.
Selepas sekian lama dan atas kesedaran pucuk pimpinan Parti Komunis Malaya, maka pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) telah ditandatangani di antara Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Perjanjian bersejarah itu telah menamatkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya selama 41 tahun dan mengembalikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong dan patuh kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.


                                             CINTAI SEJARAH NEGARA KITA

siapakah Chin Peng????

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
 
Chin Peng


Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya. beliau dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.[1]
Sebagaimana sangkaan ramai, Chin Peng bukan berasal dari China , tetapi beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal , di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.
Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari sebelahku" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.

Kisah hidupnya
Semasa kecil, Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.
Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Chiang Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Namun, buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941.
Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.
Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti-Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang tentera Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Service dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.
Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal dalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi dari para pemimpin MPAJA.
Tindakan puak radikal dalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Kiai Salleh Karim dari Batu Pahat, Johor. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa, malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.
Cubaan MPAJA untuk menguasai pentakbiran ini dari pemerintah sebenar menyebabkan mereka dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya diharamkan dan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya ditangkap.
Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.

 Memimpin Parti Komunis Malaya

Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya.
Di bawah pimpinannya, Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu, ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.
Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan atiesme. [perlu rujukan] Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di Tanah Melayu pada waktu itu ialah mereka mengamalkan prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama Islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan[perlu rujukan]. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi, malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.
Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit dengan melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

 Perjanjian Damai

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan daripada masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

 Kemerosotan Komunis

Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

 Kembali ke Malaysia

Cubaannya untuk kembali ke Malaysia menerima sokongan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan dan parti DAP.[2] Chin Peng tidak pernah menyatakan kesal memimpin Parti Komunis Malaya dalam perperangan mereka menentang kerajaan malaysia, malah bangga dengannya sebagaimana yang ditulis olehnya dalam bukunya, ("Setiap generasi membina impiannya. ... Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah membayar harga ke atas impian kami. ... Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil.") [3]. Ia turut disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas dasar perikemanusiaan [1]
Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya termasuk polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Rundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.
Bagaimanapun terdapat pihak yang mempersoalkan kenapa Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh (bekas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Muda) dapat diterima kembali ke Malaysia, tetapi tidak bagi Chin Peng. Persoalan ini dicetuskan tanpa memikirkan bahawa Chin Peng tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia malah berbangga dan menulis buku bagi membenarkan tindakannya.


                                               CINTAI SEJARAH NEGARA KITA